https://www.facebook.com/ustazmohdizharariff/posts/659593667454651:0ISU DNA BABI: FAHAMI KONSEP ISTIHALAH YANG DIBINCANGKAN OLEH PARA ULAMA SEPERTI QARADAWI PRINSIP ISTIHALAH TAMMAH DALAM PRODUK MAKANAN MODEN - Dr Mohd Izhar Ariff bin Mohd Kashim
Istihalah
mempunyai pertalian yang sangat erat dengan aspek kebersihan dan
kesucian (taharah). Kebersihan begitu mustahak sehingga Nabi Muhammad
SAW menyifatkannya sebagai antara unsur keimanan yang sangat penting.
Segala jenis najis seperti khinzir, darah dan tahi adalah haram
dijadikan bahan makanan. Begitulah juga dengan bahan-bahan suci yang
terkena najis (mutanajjis) seperti air kumbahan, makanan yang bercampur
dengan najis cain. Sesetengah bahan yang najis seperti alkohol, lemak
dan DNA haiwan haram telah pun digunakan secara meluas dalam proses
penghasilan produk makanan moden termasuklah ubah suai genetik (GMF).
Perlu diingatkan bahawa bahan yang tidak suci kekal najis sehinggalah ia
disucikan menerusi kaedah-kaedah yang diiktiraf oleh syarak. Menurut
Ibn Nujaym, terdapat lima belas kaedah untuk menyucikan najis. Antaranya
ialah air mutlak, api, samak, penyembelihan, tanah atau melalui teknik
istihalah tammah.
Pengertian Istihalah Istihalah
bermaksud perubahan sesuatu daripada sifatnya yang asal. Manakala dari
sudut pandangan fiqah, ia ditakrifkan oleh para ulama dengan pelbagai
definisi. Antaranya ialah pertukaran sesuatu bahan dari satu sifat
kepada sifat yang berbeza. SeIain itu, Ibn cAbidin daripada mazhab
Hanafi pula telah mentakrifkannya sebagai pertukaran daripada satu
hakikat kepada hakikat yang lain. Kedua-dua takrif tersebut agak umum
dan kurang jelas serta tidak menyentuh perihal perubahan dan
elemen-elemennya secara spesifik. Dalam erti kata lain, ia tidak jamic
(inklusif) dan mani’ (eksklusif). Sehubungan dengan itu, definisi yang
lebih tepat bagi istihalah ialah proses perubahan cain (bahan) yang
diklasifikasikan sebagai najis menjadi bahan berbeza yang suci sama ada
melalui proses semula jadi atau menerusi campur tangan manusia. Menurut
Qazzafi, perubahan itu juga hendaklah mengubah sifat bahan berkenaan
secara holistik termasuklah dari aspek nama panggilan, ciri-ciri
fizikal, mahupun struktur kimianya sehingga terhasil suatu jisim baru
yang benar-benar berbeza daripada asalnya. Jika ia berlaku, maka proses
ini dinamakan sebagai istihalah tammah yang diiktiraf oleh syarak.
Berdasarkan
definisi tersebut, difahami bahawa perubahan yang diiktiraf sebagai
istihalah tidak terhad kepada yang berlaku secara semula jadi, malah ia
turut merangkumi perubahan yang dilakukan secara buatan manusia. Perkara
yang terpenting di sini ialah perubahan itu berlaku secara kulli atau
tam (total) dan bukannya secara juz’i (separuh-separuh). Justeru, bahan
akhir yang terhasil mestilah berbeza sepenuhnya daripada bahan asalnya.
Jika elemen-elemen ini wujud, maka proses perubahan itu dikategorikan
sebagai istihalah tammah yang diiktiraf oleh syarak. Contohnya,
perubahan arak menjadi cuka, perubahan darah menjadi susu dan perubahan
darah menjadi daging.
Metode Istihalah dalam Produk Makanan
Keabsahan istihalah sebagai metode penyucian najis diperakui oleh ramai
ilmuan Islam termasuklah Abu Hanifah, Muhammad, Ibn Hazm, Ibn Taymiyyah
dan Ibn Qayyim. Menurut Ibn Taymiyyah, Allah SWT mencipta sebahagian
jisim alam ini daripada sebahagian yang lain. Dia mengubahnya dari satu
bahan menjadi bahan yang berbeza. Jisim baru sudah tidak sama lagi
dengan jisim asal sama ada dari sudut sifat dan hukumnya. Contohnya,
daging berasal daripada darah tetapi ia bukan darah, maka daging dikira
suci, walaupun ia berasal daripada sesuatu yang asalnya najis. Ini
bermakna proses istihalah tammah boleh menukarkan najis menjadi suatu
bahan yang suci apabila cukup segala syaratnya. Dalam konteks ini,
al-Qarafi menegaskan bahawa Allah SWT menghukum sesuatu bahan sebagai
najis kerana terdapat tiga sifat padanya, iaitu rasa, bau dan warna.
Jika sifat-sifat tersebut sudah tiada lagi, maka hukumnya sebagai najis
akan berubah kepada suci. Contohnya, darah yang telah berubah menjadi
susu, kemudian susu itu menjadi makanan utama bagi bayi. Teori asalnya,
darah mengalir adalah najis tetapi darah yang telah berubah sifat
asalnya kepada susu dan menjadi makanan bayi sudah tidak bernajis lagi.
Proses demikian dinamakan sebagai istihalah.
Kepentingan proses
istihalah tammah dalam menghasilkan produk makanan GMF berasaskan haiwan
amat penting. Ini kerana fungsinya ialah sebagai metode penyucian najis
atau bahan yang terkena najis. Proses ini mampu menghilangkan sifat
najis daripada sesuatu jisim setelah penukarannya kepada jisim yang baru
dan berbeza secara total daripada jisim asal. Melalui proses istihalah
sama ada secara semula jadi atau campur tangan manusia, najis akan
bertukar menjadi suci. Dalam konteks lain, bahan yang asalnya haram
diguna pakai, kini dapat dimanfaatkan secara optimum dalam pelbagai
industri. Contohnya, arak adalah haram diminum atau dimasukkan ke dalam
masakan kerana pengharamannya jelas menerusi al-Qur’an dan al-Sunnah.
Namun, setelah menjalani proses istihalah yang sempurna sehingga
bertukar sifatnya kepada cuka, maka hukumnya berubah menjadi halal.
Tambahan pula, apabila sifat-sifat arak (najis) seperti bau, rasa, warna
serta identitinya juga tidak lagi dapat dikesan atau dikenal pasti
dalam cuka. Oleh itu, cuka dihalalkan makan dan dimanfaatkan dalam semua
perkara.
Sebenarnya, istihalah sangat berguna untuk kelangsungan
hidupan umat Islam di muka bumi ini. Menerusi proses istihalah, umat
Islam dapat mengoptimumkan penggunaan sumber yang sememangnya terhad dan
pada masa yang sama mereka turut mendapat keredaan daripada Allah SWT.
Berhubung
aplikasi metode istihalah tammah dalam produk makanan, terdapat
beberapa contoh yang boleh dijadikan sandaran, iaitu istihalah arak
kepada cuka. Perubahan arak kepada cuka merupakan sandaran dalam
menentukan hukum produk-produk makanan GMF yang menggunakan teknik
istihalah. Melalui proses tersebut, arak boleh bertukar menjadi cuka
melalui dua cara istihalah, pertama; perubahan dengan sendirinya, iaitu
melalui teknik penapaian, dan kedua; perubahan berlaku melalui campur
tangan manusia dengan menambah bahan-bahan luaran seperti garam untuk
menghasilkan cuka yang berkualiti. Dalam era moden masa kini,
penghasilan cuka daripada arak dilakukan menerusi teknik-teknik yang
lebih canggih seperti teknik pengoksidaan yang menggunakan oksigen
sebagai bahan utama. Namun, semua itu tidak akan lari daripada konsep
istihalah yang dibenarkan oleh Islam.
Hukum istihalah
Para ulama berselisih pendapat tentang hukum makanan yang terhasil
melalui proses istihalah. Perinciannya adalah seperti berikut:
a. Najis akan bertukar menjadi suci
Pendapat pertama menegaskan bahawa najis akan bertukar menjadi suci
apabila segala sifat, hakikat dan unsurnya berubah secara menyeluruh.
Ini bermaksud warna, bau, rasa dan identiti najis tidak lagi dikenal
pasti dalam produk GMF berkenaan. Pendapat ini diutarakan oleh mazhab
Hanafi, Maliki, sebahagian mazhab Hanbali, Ibn Taymiyyah, Ibn al-Qayyim
dan al-Zahiri. Mereka tidak membezakan proses yang berlaku itu sama ada
ia najis li cainih (najis cain) atau najis li ghairih (bernajis kerana
faktor luaran). Najis tersebut boleh disucikan menerusi proses istihalah
tammah. Ulama fuqaha mazhab Shafici juga mempunyai pendapat yang serupa
dalam permasalahan jisim yang najis kerana najis li ghairih (sebab
tertentu). Dalil yang menjadi justifikasi kepada pandangan ini ialah:
1. Sesuatu makanan itu dihukum sebagai najis kerana wujudnya
sifat-sifat yang menunjukkan kepada najis seperti bau, rasa dan warna.
Sekiranya sifat-sifat tersebut sudah tidak wujud, maka hukumnya juga
turut berubah menjadi halal.
2. Qiyas proses istihalah dengan
proses menyamak kulit haiwan yang bernajis. Kulit haiwan merupakan najis
li‘ainih. Setelah ia disamak sehingga fizikal kulit telah berubah
kepada keadaan baru yang langsung tidak meninggalkan kesan najis,
kelembapan dan kekotoran. Maka, telah berlaku proses istihalah kerana
kulit tersebut telah berubah sifat daripada najis kepada suci secara
menyeluruh. Secara praktikalnya, proses istihalah menyerupai proses
samak dari sudut mengubah sifat dan fizikal sesuatu jisim.
3.
Qiyas ke atas istihalah arak secara semula jadi kepada cuka dengan
persamaan dari sudut perubahan dan pertukaran hakikat (sifat dan
struktur). Menurut Ibn Taymiyyah, semua najis berasal daripada jisim
yang suci dan bertukar menjadi najis kerana proses istihalah. Contohnya,
darah berasal daripada zat-zat makanan yang suci. Setelah ditukar
menjadi darah, ia dihukum sebagai najis dan haram dimakan atau diminum.
Perkara yang sama juga berlaku ke atas tahi dan air kencing. Justeru,
sekiranya arak boleh bertukar menjadi suci dengan sebab istihalah tammah
sehingga bertukar menjadi cuka, maka najis lain lebih berhak menjadi
suci menerusi proses yang serupa. Ibn al-Qayyim menambah, qiyas
istihalah sesuatu najis kepada istihalah arak merupakan qiyas yang
selaras dengan nas. Arak ialah najis li cainih seumpama darah dan air
kencing, kemudian bertukar menjadi suci menerusi proses istihalah tammah
seperti perubahan arak kepada cuka, darah menjadi susu, tahi menjadi
baja pokok dan banyak lagi.
4. Istiqra’. Allah SWT telah
mengubah kejadian makhluk ciptaan-Nya daripada satu bentuk kepada bentuk
yang lain dan menukarnya daripada satu jisim kepada jisim yang baru.
Contohnya, Allah SWT telah mengubah jus kepada arak dan daripada arak
kepada cuka dan darah bertukar menjadi daging, organ, susu dan air mani.
Najis haiwan menjadi bahagian-bahagian tertentu pada tumbuhan. Selepas
menjalani proses istihalah, hukum najis yang dikenakan kepada sesuatu
jisim dimansuhkan apabila hilangnya segala sifat dan struktur jisim
najis tersebut.
b. Najis tidak akan menjadi suci
Manakala pendapat kedua menegaskan bahawa najis tidak akan menjadi suci
walaupun ia telah bertukar menjadi bahan lain yang jelas berbeza dengan
sifat dan struktur asalnya menerusi proses istihalah. Ini merupakan
pendapat yang muktamad daripada mazhab Hanbali dan Shafici, pendapat Abu
Yusuf daripada mazhab Hanafi dan Maliki. Bagi mereka, istihalah tidak
dapat mengangkat hukum najis daripada sesuatu jisim kepada suci. Hujah
mereka ialah:
1. Terdapat riwayat menunjukkan Nabi Muhammad SAW
melarang para Sahabat daripada memakan haiwan yang memakan kotor. Sabda
Baginda:
نَهَى رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْل الْجَلَّالَة وَأَلْبَانهَا
Maksudnya:
Baginda melarang memakan daging dan meminum susu haiwan ternakan yang makan najis.
Larangan
Baginda ini menunjukkan bahawa najis yang dimakan oleh haiwan ternakan,
walaupun sudah berubah menjadi susu dan daging menerusi proses
istihalah semula jadi tetap tidak berubah menjadi suci dan
pengharamannya juga turut dikekalkan. Jika tidak haram, tiada sebab
untuk Baginda melarang para Sahabatnya daripada memakan daging atau
meminum susu haiwan yang memakan najis.
2. Dalam proses
istihalah, perubahan yang yang berlaku terhadap cain (jisim) najis
adalah tidak menyeluruh. Ia hanya berlaku kepada sifat dan bentuk
fizikal najis sedangkan jisimnya masih wujud dan kekal dalam produk yang
baharu itu. Ini bermakna juzuk najis tersebut seperti molekul atau atom
masih wujud dan boleh dikenal pasti menerusi teknik PCR. Contohnya,
apabila najis dibakar, ia bertukar menjadi abu yang terbina daripada
juzuk najis yang terbakar. Justeru, debu itu dikira najis seperti
asalnya dan ia sebagai langkah ihtiyat (berhati-hati) penggunaan debu
tersebut untuk tujuan memasak atau bersuji turut dilarang.
Hujah
ini dikritik kerana kewujudan sebahagian atom najis dalam molekul bahan
baru yang terhasil menerusi proses istihalah tidak menjejaskan
kesuciannya. Ini kerana perkara yang diambil kira dalam menentukan sama
ada sesuatu jisim itu suci atau najis ialah kewujudan sifat dan
unsur-unsurnya, bukan bentuk luarannya sahaja yang diambil kira.
Contohnya, jisim arak dihukum najis kerana terdapat padanya unsur yang
memabukkan. Apabila ia bertukar menjadi cuka, unsur dan sifat itu
didapati sudah hilang tanpa dapat dikesan dalam cuka. Atas dasar itu,
cuka diberi hukum sebagai suci dan halal dimakan. Kajian sains juga
telah membuktikan bahawa abu merupakan hasil daripada sebahagian proses
istihalah yang membabitkan pembakaran jisim najis kepada jisim lain yang
suci. Proses tersebut telah berjaya menghilangkan sifat-sifat jisim
najis secara menyeluruh dan kekal. Ini bererti produk yang terhasil
daripada istihalah secara pembakaran, tidak akan kembali menjadi najis
seperti asalnya.
Berdasarkan penjelasan dan penghujahan dua
pandangan tersebut, didapati pendapat yang lebih tepat dalam masalah ini
ialah pendapat pertama yang mengatakan bahawa jisim najis akan menjadi
suci menerusi proses istihalah. Ini kerana hujah-hujah yang dikemukan
oleh golongan pertama itu selamat daripada pertikaian oleh golongan
kedua. Manakala hujah golongan kedua pula tidak selamat daripada
kritikan seperti yang dijelaskan sebelum ini. Walaupun begitu, lebih
baik sekiranya kedua-dua pandangan itu diharmonikan dengan memperincikan
lagi penentuan hukum istihalah dalam produk GMF. Proses istihalah yang
berlaku dalam produk GMF dikategorikan sebagai halal dan suci apabila ia
berlaku secara istihalah tammah. Sekiranya ia hanya berlaku pada
istihalah juz’iyyah sahaja (bahagian-bahagian tertentu) sehingga
membolehkan identiti atau kod menderma asal dikenal pasti, maka hukum
produk berkenaan adalah haram dan bernajis. Hukum ini boleh dikaitkan
dengan semua jenis najis, iaitu najis li ghayrih, najis li ‘ainih dan
mutanajjis seperti ikan yang diberi makan GMF berasaskan najis.
Oleh
demikian, penentuan hukum bagi isu GMF berasaskan haiwan mestilah
dibuat berdasarkan case by case. Ini bermakna hukum GMF hanya boleh
ditentukan apabila kajian telah membuktikan zat dan kesan najis cain
yang terdapat padanya benar-benar sudah hilang. Sekiranya ia benar-benar
suci daripada kesan najis, maka tidak salah untuk menghalalkan produk
GMF berkenaan.
Ustaz Dr Mohd Izhar Ariff bin Mohd Kashim (A.M.S)
Pensyarah Fikah Kepenggunaan Semasa
Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia
Bangi.
https://www.facebook.com/asyraf.dusuki/posts/10203084092176226
JANGAN MEMAKSAKAN PANDANGAN KITA PADA ORANG LAIN - Asyraf Wajdi Dusuki
Terserahlah bagi sesiapa yang ingin memegang satu-satu pandangan atau
mengikuti pendapat tertentu dalam satu-satu isu yang berbangkit. Namun
jangan sesekali memaksakan pandangan dan pendirian kita kepada orang
lain, apatah lagi memperlekeh mahupun mengeji mereka yang berbeza dengan
kita. Sedangkan di kalangan ulamak2 Mazhabpun amat menghormati
pandangan berbeza maka siapakah kita yang bukan setakat malas membaca
buku tapi hanya bergantung pada 'muka buku' untuk menimba ilmu.
Ambilllah iktibar kata2 Imam Malik (pelopor Mazhab Maliki) tatkala
Khalifah Harun Al-Rashid menyarankan Imam Malik supaya menggantungkan
kitabnya Al-Muwatta’ pada Kaabah, dan mewajibkan masyarakat supaya
menerima kandungannya. Maka Imam Malik menolak cadangan tersebut dengan
menyatakan:
أَمَّا تَعْلِيقُ الموطَّأ فإنَّ الصَّحابةَ اخْتَلفُوا في الفُروع وتفرَّقُوا، وكلٌّ عند نفسه مُصِيبٌ
Maksudnya: “Manakala cadangan menggantungkan Al-Muwatta’ pada Kaabah,
sesungguhnya para sahabat telah berselisih pendapat dalam
perkara-perkara cabang (furuk), dan mereka telah bertebaran (ke serata
tempat). Dan setiap pendapat adalah betul di sisi setiap mereka
masing-masing”.
Demikian juga sikap Imam Syafie yang tersohor dengan kalimah hikmahnya:
رأيي صواب يحتمل الخطأ ورأي غيري خطأ يحتمل الصواب
"Pandangan aku betul tetapi boleh jadi salah, pandangan orang lain salah tetapi boleh jadi betul".
https://www.facebook.com/DrZaharuddin/posts/780429038663448
POLEMIK ISU ISTIHALAH DAN BABI : RINGKAS DARI SAYA - Zaharuddin Abd Rahman
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Fatwa Kebangsaan dan
Negeri-negeri perlu membuat kenyataan semula atau 'highlight' tiga
perkara :-
Pertama : Keputusan hukum yang dipilih untuk rakyat Malaysia dalam hal
sama ada Istihalah item najis 'aini seperti babi adalah suci atau tidak.
Ini kerana ulama Fiqh mazhab berbeza ijtihad dalam hal tersebut.
Kedua : Sama ada proses istihalah (tranformasi) unsur babi boleh berlaku sebelum menjadi gelatin di negara ini.
Ketiga : Istihalah elemen najis kepada suci dalam produk selain perubatan boleh diterima atau tidak.
Setahu saya, Majlis Fatwa Kebangsaan pernah mengeluarkan fatwa dalam hal
ini pada 1999 mengenai barangan, makanan dan minuman yang diproses
melalui kaedah bio-teknologi DNA babi, yang diputuskan HARAM dan
bercanggah dengan hukum syarak.
Apapun, badan berwajib ini perlu mengutarakannya kembali dan memberi
hujjah-hujjah ringkas. Selain itu, ada baiknya juga keputusan makmal
halal berkenaan boleh MENGESAHKAN sama ada boleh berlaku istihalah atau
tidak kepada bahan berunsur babi khususnya dalam pembuatan makanan
seperti coklat. inI kerana ada sebahagian menafikannya.
Pada asasnya, prinsip istihalah boleh berlaku dalam pelbagai jenis najis
dan bangkai binatang iaitu dengan berlakunya perubahan kimia sehingga
seluruh molekul item najis berubah kepada suatu bentuk baru. Tatakala
itu, sebahagian ulama anggap ia telah suci dan halal sama ada untuk
ubatan dan makanan.
Perkara tersebut telah dibuktikan boleh berlaku oleh sebahagian besar
pengkaji dan ulama serta telah menjadi ketetapan Kesatuan Ulama Fiqh
Sedunia OIC dalam sidang mereka pada 18 -22 November 2013.
Menurut keputusan mereka, najis ‘ain’ termasuk babi dan arak boleh
menjadi harus apabila disahkan berlakunya istihalah yang sempurna.
PANDANGAN SILAM
Manakala mazhab-mazhab Fiqh silam pula terbahagi kepada dua kumpulan besar dalam menanggapi istihalah ini.
1. Mazhab Hanafi, sebahagian besar ulama Maliki, Ibnu Taimiyah dan
Zohiri berpandangan jika berubah zatnya kepada benda baru maka ia tidak
lagi najis.
2. Mazhab Syafie, Imam Ahmad dan Imam Abu Yusuf berpandangan istihalah tidak boleh berlaku kepada najis ain termasuk babi.
KENYATAAN AL-QARADAWI
Kenyataan ulama terkenal, Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi yang menyatakan
DNA babi halal adalah telah disalah ertikan tajuknya. Beliau sebenarnya
mahu menjelaskan berlaku istihalah dalam zat babi sehingga tiada lagi
kesan babi dan yang tidak boleh lagi dikatakan wujudnya babi yang najis.
Itu BUKAN PENDAPAT beliau seorang tetapi sekumpulan ulama berautorti
dari seluruh dunia melalui PERSIDANGAN Majlis Fiqh Antarabangsa OIC.
Perlu difahami, pandangan mazhab Fiqh dalam hal melibatkan muamalat
seperti ini bukan semestinya kekal pendapat terkuat kerana fatwa terkuat
masih boleh berubah mengikut peredaran zaman khsusunya apabila adanya
peralatan teknologi yang boleh mengesan sebarang kandungan dalam sesuatu
produk.
Isu ini adalah isu perbezaan ijtihad fiqh dan tidak perlu mana-mana
kumpulan terlalu menghentam pendapat yang lain. Kerana masing-masing
disokong oleh hujah yang benar. Dapatan kajian makmal pula mungkin
berbeza dari satu makmal dengan yang lain menyebabkan nasihat kepada
para ulama menghasilkan pendapat yang berbeza.
AKHIRNYA
Nasihat ringkas saya kepada masyarakat,
a. Jangan mudah menghentam para ulama dan pihak berbeza pendapat kerana masing-masing ada hujah sendiri.
b. Perbezaan pendapat jangan dicerca namun ambillah ia secara positif
sebagai keterbukaan dalam Fiqh Islam. Ini penting bagi meuwjudkan
masyarakat yang berfikir, membaca dan peka .
c. Apapun saya bersetuju jika sesiapa ingin lebih selamat dan tiada
factor keterdesakan, sebaiknya menjauhi semua produk yang terlibat
dengan elemen babi walaupun sudah berlaku istihalah khususnya yang bukan
dalam bab makanan yang bukan pula makanan asasi. Selain terdapat banyak
alternatif yang lebih tidak diragui.
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
RAIKANLAH PERBEZAAN PENDAPAT DENGAN ADAB SOPAN - Asyraf Wajdi Dusuki
Usahlah mudah mengeluarkan kejian, cacian mahupun menuduh bukan2 orang
yg mengeluarkan pandangan atau berpendirian berbeza dengan kita.
Perselisihan dan perbezaan pandangan dalam Islam adalah suatu yg amat
diraikan kerana ia dapat memberikan keluasan kepada ummah. Terbaca kata2
hikmah Khalifah Umar bin Abdul Aziz:
مَا أُحِبُّ أَنَّ أَصْحَابَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ لَمْ يَخْتَلِفُوا؛ لِأَنَّهُ لَوْ كَانَ قَوْلًا وَاحِدًا كَانَ
النَّاسُ فِي ضِيقٍ وَإِنَّهُمْ أَئِمَّةٌ يُقْتَدَى بِهِمْ وَلَوْ أَخَذَ
رَجُلٌ بِقَوْلِ أَحَدِهِمْ كَانَ فِي سَعَةٍ
Maksudnya: “Aku tidak suka kalau sahabat-sahabat Nabi Sallallahu Alaihi
Wasallam tidak berselisih pendapat. Kerana jika hanya terdapat satu
pendapat sahaja, nescaya manusia berada dalam kesempitan. Dan
sesungguhnya mereka adalah imam-imam yang diikuti. Kalau seseorang dapat
mengambil pendapat seseorang dari kalangan mereka, maka akan wujud
keluasan”. (Jami’ Bayan al-Ilm wa Fadhlih).
=====
SHAH
ALAM - Abaikan fatwa Dr Yusuf Al-Qaradawi mengenai hukum menggunakan
gelatin babi, demikian nasihat Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
(JFK), Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin kepada umat Islam
negara ini. Bagaimanapun katanya, pendapat tokoh ulama itu yang
menghukumkan penggunaan gelatin babi oleh orang Islam sebagai halal
mengikut konsep istihalah tidak seharusnya dicurigai, cuma ia tidak
sesuai dipraktikkan di negara ini.
"Malaysia bukan negara darurat (untuk dibenarkan penggunaan gelatin babi
oleh orang Islam). Di sini kita masih mudah dapat bekalan makanan
halal," katanya. Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ada
mengeluarkan senarai makanan halal, justeru tidak ada sebab kukuh untuk
kita sampai perlu atau terpaksa menggunakan gelatin babi yang
dibenarkan mengikut konsep istihalah.
Mengenai reaksi sebilangan ulama negara ini yang jelas begitu mencurigai
pandangan Al-Qaradawi mengenai perkara tersebut, Abd Shukor berkata,
kita tidak seharusnya cepat melatah menghadapi kenyataan kontroversi
seperti itu. "Pertamanya, jangan samakan atau bandingkan pandangan
seperti itu dengan keadaan di negara kita. Pandangan beliau ada
kebenarannya dan berdasarkan hujah. Cuma pada keadaan semasa, ia tidak
relevan (untuk dipraktikkan) di sini," tegasnya.
Mengulas lanjut, Abd Shukor berkata, dalam melakukan sesuatu perkara
yang tidak jelas hukumnya, umat Islam di negara ini seharusnya berpandu
kepada fatwa yang dikeluarkan oleh JFK yang melakukan kajian dan
perbincangan teliti dengan merujuk kepada kitab-kitab muktabar sebelum
membuat sesuatu keputusan.
"Keputusan yang kita (JFK) buat adalah mengikut kesesuaian keadaan dalam
negara kita sendiri, dan inilah yang menjadikan kenyataan (atau fatwa)
sesetengah pihak (ulama) dari luar negara berbeza dengan kita," katanya.
Al Qaradawi dalam kenyataannya beberapa hari lalu menyatakan bahan yang
asalnya adalah babi tertakluk kepada hukum baharu iaitu halal setelah
mengalami transformasi bahan atau perubahan zat yang menghilangkan terus
sifat yang ada pada unsur asal.
Mengikut hukum fiqh, hal yang seperti ini disebut sebagai istihalah.
Kenyataan ulama terkenal itu bagaimanapun tidak disanggah oleh beberapa
ulama tempatan yang menyatakan bahan yang haram di sisi hukum Islam
tetap dianggap haram meskipun mengalami perubahan zat.
Menurut Abd Shukor, istihalah yang disebut Al-Qaradawi boleh diguna
pakai berdasarkan kedudukan, keadaan dan kemaslahatan di tempat-tempat
tertentu. "Di negara ini, seperti yang saya katakan tadi, ia tidak
sesuai," tegasnya.
Menurutnya, istihalah lebih sesuai dipraktikkan di negara Barat yang
umat Islam adalah golongan minoriti serta sukar untuk mendapatkan
bekalan halal. "Apa pun, yang paling perlu bagi kita adalah mengelak
makanan yang berstatus meragukan atau syubhah," katanya.