Monday, June 9, 2014

PRINSIP ISTIHALAH TAMMAH DALAM PRODUK MAKANAN MODEN

https://www.facebook.com/ustazmohdizharariff/posts/659593667454651:0

ISU DNA BABI: FAHAMI KONSEP ISTIHALAH YANG DIBINCANGKAN OLEH PARA ULAMA SEPERTI QARADAWI PRINSIP ISTIHALAH TAMMAH DALAM PRODUK MAKANAN MODEN - Dr Mohd Izhar Ariff bin Mohd Kashim

Istihalah mempunyai pertalian yang sangat erat dengan aspek kebersihan dan kesucian (taharah). Kebersihan begitu mustahak sehingga Nabi Muhammad SAW menyifatkannya sebagai antara unsur keimanan yang sangat penting. Segala jenis najis seperti khinzir, darah dan tahi adalah haram dijadikan bahan makanan. Begitulah juga dengan bahan-bahan suci yang terkena najis (mutanajjis) seperti air kumbahan, makanan yang bercampur dengan najis cain. Sesetengah bahan yang najis seperti alkohol, lemak dan DNA haiwan haram telah pun digunakan secara meluas dalam proses penghasilan produk makanan moden termasuklah ubah suai genetik (GMF). Perlu diingatkan bahawa bahan yang tidak suci kekal najis sehinggalah ia disucikan menerusi kaedah-kaedah yang diiktiraf oleh syarak. Menurut Ibn Nujaym, terdapat lima belas kaedah untuk menyucikan najis. Antaranya ialah air mutlak, api, samak, penyembelihan, tanah atau melalui teknik istihalah tammah.

Pengertian Istihalah
Istihalah bermaksud perubahan sesuatu daripada sifatnya yang asal. Manakala dari sudut pandangan fiqah, ia ditakrifkan oleh para ulama dengan pelbagai definisi. Antaranya ialah pertukaran sesuatu bahan dari satu sifat kepada sifat yang berbeza. SeIain itu, Ibn cAbidin daripada mazhab Hanafi pula telah mentakrifkannya sebagai pertukaran daripada satu hakikat kepada hakikat yang lain. Kedua-dua takrif tersebut agak umum dan kurang jelas serta tidak menyentuh perihal perubahan dan elemen-elemennya secara spesifik. Dalam erti kata lain, ia tidak jamic (inklusif) dan mani’ (eksklusif). Sehubungan dengan itu, definisi yang lebih tepat bagi istihalah ialah proses perubahan cain (bahan) yang diklasifikasikan sebagai najis menjadi bahan berbeza yang suci sama ada melalui proses semula jadi atau menerusi campur tangan manusia. Menurut Qazzafi, perubahan itu juga hendaklah mengubah sifat bahan berkenaan secara holistik termasuklah dari aspek nama panggilan, ciri-ciri fizikal, mahupun struktur kimianya sehingga terhasil suatu jisim baru yang benar-benar berbeza daripada asalnya. Jika ia berlaku, maka proses ini dinamakan sebagai istihalah tammah yang diiktiraf oleh syarak.

Berdasarkan definisi tersebut, difahami bahawa perubahan yang diiktiraf sebagai istihalah tidak terhad kepada yang berlaku secara semula jadi, malah ia turut merangkumi perubahan yang dilakukan secara buatan manusia. Perkara yang terpenting di sini ialah perubahan itu berlaku secara kulli atau tam (total) dan bukannya secara juz’i (separuh-separuh). Justeru, bahan akhir yang terhasil mestilah berbeza sepenuhnya daripada bahan asalnya. Jika elemen-elemen ini wujud, maka proses perubahan itu dikategorikan sebagai istihalah tammah yang diiktiraf oleh syarak. Contohnya, perubahan arak menjadi cuka, perubahan darah menjadi susu dan perubahan darah menjadi daging.

Metode Istihalah dalam Produk Makanan
Keabsahan istihalah sebagai metode penyucian najis diperakui oleh ramai ilmuan Islam termasuklah Abu Hanifah, Muhammad, Ibn Hazm, Ibn Taymiyyah dan Ibn Qayyim. Menurut Ibn Taymiyyah, Allah SWT mencipta sebahagian jisim alam ini daripada sebahagian yang lain. Dia mengubahnya dari satu bahan menjadi bahan yang berbeza. Jisim baru sudah tidak sama lagi dengan jisim asal sama ada dari sudut sifat dan hukumnya. Contohnya, daging berasal daripada darah tetapi ia bukan darah, maka daging dikira suci, walaupun ia berasal daripada sesuatu yang asalnya najis. Ini bermakna proses istihalah tammah boleh menukarkan najis menjadi suatu bahan yang suci apabila cukup segala syaratnya. Dalam konteks ini, al-Qarafi menegaskan bahawa Allah SWT menghukum sesuatu bahan sebagai najis kerana terdapat tiga sifat padanya, iaitu rasa, bau dan warna. Jika sifat-sifat tersebut sudah tiada lagi, maka hukumnya sebagai najis akan berubah kepada suci. Contohnya, darah yang telah berubah menjadi susu, kemudian susu itu menjadi makanan utama bagi bayi. Teori asalnya, darah mengalir adalah najis tetapi darah yang telah berubah sifat asalnya kepada susu dan menjadi makanan bayi sudah tidak bernajis lagi. Proses demikian dinamakan sebagai istihalah.

Kepentingan proses istihalah tammah dalam menghasilkan produk makanan GMF berasaskan haiwan amat penting. Ini kerana fungsinya ialah sebagai metode penyucian najis atau bahan yang terkena najis. Proses ini mampu menghilangkan sifat najis daripada sesuatu jisim setelah penukarannya kepada jisim yang baru dan berbeza secara total daripada jisim asal. Melalui proses istihalah sama ada secara semula jadi atau campur tangan manusia, najis akan bertukar menjadi suci. Dalam konteks lain, bahan yang asalnya haram diguna pakai, kini dapat dimanfaatkan secara optimum dalam pelbagai industri. Contohnya, arak adalah haram diminum atau dimasukkan ke dalam masakan kerana pengharamannya jelas menerusi al-Qur’an dan al-Sunnah. Namun, setelah menjalani proses istihalah yang sempurna sehingga bertukar sifatnya kepada cuka, maka hukumnya berubah menjadi halal. Tambahan pula, apabila sifat-sifat arak (najis) seperti bau, rasa, warna serta identitinya juga tidak lagi dapat dikesan atau dikenal pasti dalam cuka. Oleh itu, cuka dihalalkan makan dan dimanfaatkan dalam semua perkara.

Sebenarnya, istihalah sangat berguna untuk kelangsungan hidupan umat Islam di muka bumi ini. Menerusi proses istihalah, umat Islam dapat mengoptimumkan penggunaan sumber yang sememangnya terhad dan pada masa yang sama mereka turut mendapat keredaan daripada Allah SWT.

Berhubung aplikasi metode istihalah tammah dalam produk makanan, terdapat beberapa contoh yang boleh dijadikan sandaran, iaitu istihalah arak kepada cuka. Perubahan arak kepada cuka merupakan sandaran dalam menentukan hukum produk-produk makanan GMF yang menggunakan teknik istihalah. Melalui proses tersebut, arak boleh bertukar menjadi cuka melalui dua cara istihalah, pertama; perubahan dengan sendirinya, iaitu melalui teknik penapaian, dan kedua; perubahan berlaku melalui campur tangan manusia dengan menambah bahan-bahan luaran seperti garam untuk menghasilkan cuka yang berkualiti. Dalam era moden masa kini, penghasilan cuka daripada arak dilakukan menerusi teknik-teknik yang lebih canggih seperti teknik pengoksidaan yang menggunakan oksigen sebagai bahan utama. Namun, semua itu tidak akan lari daripada konsep istihalah yang dibenarkan oleh Islam.

Hukum istihalah
Para ulama berselisih pendapat tentang hukum makanan yang terhasil melalui proses istihalah. Perinciannya adalah seperti berikut:

a. Najis akan bertukar menjadi suci
Pendapat pertama menegaskan bahawa najis akan bertukar menjadi suci apabila segala sifat, hakikat dan unsurnya berubah secara menyeluruh. Ini bermaksud warna, bau, rasa dan identiti najis tidak lagi dikenal pasti dalam produk GMF berkenaan. Pendapat ini diutarakan oleh mazhab Hanafi, Maliki, sebahagian mazhab Hanbali, Ibn Taymiyyah, Ibn al-Qayyim dan al-Zahiri. Mereka tidak membezakan proses yang berlaku itu sama ada ia najis li cainih (najis cain) atau najis li ghairih (bernajis kerana faktor luaran). Najis tersebut boleh disucikan menerusi proses istihalah tammah. Ulama fuqaha mazhab Shafici juga mempunyai pendapat yang serupa dalam permasalahan jisim yang najis kerana najis li ghairih (sebab tertentu). Dalil yang menjadi justifikasi kepada pandangan ini ialah:

1. Sesuatu makanan itu dihukum sebagai najis kerana wujudnya sifat-sifat yang menunjukkan kepada najis seperti bau, rasa dan warna. Sekiranya sifat-sifat tersebut sudah tidak wujud, maka hukumnya juga turut berubah menjadi halal.

2. Qiyas proses istihalah dengan proses menyamak kulit haiwan yang bernajis. Kulit haiwan merupakan najis li‘ainih. Setelah ia disamak sehingga fizikal kulit telah berubah kepada keadaan baru yang langsung tidak meninggalkan kesan najis, kelembapan dan kekotoran. Maka, telah berlaku proses istihalah kerana kulit tersebut telah berubah sifat daripada najis kepada suci secara menyeluruh. Secara praktikalnya, proses istihalah menyerupai proses samak dari sudut mengubah sifat dan fizikal sesuatu jisim.

3. Qiyas ke atas istihalah arak secara semula jadi kepada cuka dengan persamaan dari sudut perubahan dan pertukaran hakikat (sifat dan struktur). Menurut Ibn Taymiyyah, semua najis berasal daripada jisim yang suci dan bertukar menjadi najis kerana proses istihalah. Contohnya, darah berasal daripada zat-zat makanan yang suci. Setelah ditukar menjadi darah, ia dihukum sebagai najis dan haram dimakan atau diminum. Perkara yang sama juga berlaku ke atas tahi dan air kencing. Justeru, sekiranya arak boleh bertukar menjadi suci dengan sebab istihalah tammah sehingga bertukar menjadi cuka, maka najis lain lebih berhak menjadi suci menerusi proses yang serupa. Ibn al-Qayyim menambah, qiyas istihalah sesuatu najis kepada istihalah arak merupakan qiyas yang selaras dengan nas. Arak ialah najis li cainih seumpama darah dan air kencing, kemudian bertukar menjadi suci menerusi proses istihalah tammah seperti perubahan arak kepada cuka, darah menjadi susu, tahi menjadi baja pokok dan banyak lagi.

4. Istiqra’. Allah SWT telah mengubah kejadian makhluk ciptaan-Nya daripada satu bentuk kepada bentuk yang lain dan menukarnya daripada satu jisim kepada jisim yang baru. Contohnya, Allah SWT telah mengubah jus kepada arak dan daripada arak kepada cuka dan darah bertukar menjadi daging, organ, susu dan air mani. Najis haiwan menjadi bahagian-bahagian tertentu pada tumbuhan. Selepas menjalani proses istihalah, hukum najis yang dikenakan kepada sesuatu jisim dimansuhkan apabila hilangnya segala sifat dan struktur jisim najis tersebut.


b. Najis tidak akan menjadi suci
Manakala pendapat kedua menegaskan bahawa najis tidak akan menjadi suci walaupun ia telah bertukar menjadi bahan lain yang jelas berbeza dengan sifat dan struktur asalnya menerusi proses istihalah. Ini merupakan pendapat yang muktamad daripada mazhab Hanbali dan Shafici, pendapat Abu Yusuf daripada mazhab Hanafi  dan Maliki. Bagi mereka, istihalah tidak dapat mengangkat hukum najis daripada sesuatu jisim kepada suci. Hujah mereka ialah:

1. Terdapat riwayat menunjukkan Nabi Muhammad SAW melarang para Sahabat daripada memakan haiwan yang memakan kotor. Sabda Baginda:
نَهَى رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْل الْجَلَّالَة وَأَلْبَانهَا
Maksudnya:
Baginda melarang memakan daging dan meminum susu haiwan ternakan yang makan najis.

Larangan Baginda ini menunjukkan bahawa najis yang dimakan oleh haiwan ternakan, walaupun sudah berubah menjadi susu dan daging menerusi proses istihalah semula jadi tetap tidak berubah menjadi suci dan pengharamannya juga turut dikekalkan. Jika tidak haram, tiada sebab untuk Baginda melarang para Sahabatnya daripada memakan daging atau meminum susu haiwan yang memakan najis.

2. Dalam proses istihalah, perubahan yang yang berlaku terhadap cain (jisim) najis adalah tidak menyeluruh. Ia hanya berlaku kepada sifat dan bentuk fizikal najis sedangkan jisimnya masih wujud dan kekal dalam produk yang baharu itu. Ini bermakna juzuk najis tersebut seperti molekul atau atom masih wujud dan boleh dikenal pasti menerusi teknik PCR. Contohnya, apabila najis dibakar, ia bertukar menjadi abu yang terbina daripada juzuk najis yang terbakar. Justeru, debu itu dikira najis seperti asalnya dan ia sebagai langkah ihtiyat (berhati-hati) penggunaan debu tersebut untuk tujuan memasak atau bersuji turut dilarang.

Hujah ini dikritik kerana kewujudan sebahagian atom najis dalam molekul bahan baru yang terhasil menerusi proses istihalah tidak menjejaskan kesuciannya. Ini kerana perkara yang diambil kira dalam menentukan sama ada sesuatu jisim itu suci atau najis ialah kewujudan sifat dan unsur-unsurnya, bukan bentuk luarannya sahaja yang diambil kira. Contohnya, jisim arak dihukum najis kerana terdapat padanya unsur yang memabukkan. Apabila ia bertukar menjadi cuka, unsur dan sifat itu didapati sudah hilang tanpa dapat dikesan dalam cuka. Atas dasar itu, cuka diberi hukum sebagai suci dan halal dimakan. Kajian sains juga telah membuktikan bahawa abu merupakan hasil daripada sebahagian proses istihalah yang membabitkan pembakaran jisim najis kepada jisim lain yang suci. Proses tersebut telah berjaya menghilangkan sifat-sifat jisim najis secara menyeluruh dan kekal. Ini bererti produk yang terhasil daripada istihalah secara pembakaran, tidak akan kembali menjadi najis seperti asalnya.

Berdasarkan penjelasan dan penghujahan dua pandangan tersebut, didapati pendapat yang lebih tepat dalam masalah ini ialah pendapat pertama yang mengatakan bahawa jisim najis akan menjadi suci menerusi proses istihalah. Ini kerana hujah-hujah yang dikemukan oleh golongan pertama itu selamat daripada pertikaian oleh golongan kedua. Manakala hujah golongan kedua pula tidak selamat daripada kritikan seperti yang dijelaskan sebelum ini. Walaupun begitu, lebih baik sekiranya kedua-dua pandangan itu diharmonikan dengan memperincikan lagi penentuan hukum istihalah dalam produk GMF. Proses istihalah yang berlaku dalam produk GMF dikategorikan sebagai halal dan suci apabila ia berlaku secara istihalah tammah. Sekiranya ia hanya berlaku pada istihalah juz’iyyah sahaja (bahagian-bahagian tertentu) sehingga membolehkan identiti atau kod menderma asal dikenal pasti, maka hukum produk berkenaan adalah haram dan bernajis. Hukum ini boleh dikaitkan dengan semua jenis najis, iaitu najis li ghayrih, najis li ‘ainih dan mutanajjis seperti ikan yang diberi makan GMF berasaskan najis.

Oleh demikian, penentuan hukum bagi isu GMF berasaskan haiwan mestilah dibuat berdasarkan case by case. Ini bermakna hukum GMF hanya boleh ditentukan apabila kajian telah membuktikan zat dan kesan najis cain yang terdapat padanya benar-benar sudah hilang. Sekiranya ia benar-benar suci daripada kesan najis, maka tidak salah untuk menghalalkan produk GMF berkenaan.

Ustaz Dr Mohd Izhar Ariff bin Mohd Kashim (A.M.S)
Pensyarah Fikah Kepenggunaan Semasa
Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia
Bangi.







https://www.facebook.com/asyraf.dusuki/posts/10203084092176226

JANGAN MEMAKSAKAN PANDANGAN KITA PADA ORANG LAIN - Asyraf Wajdi Dusuki


Terserahlah bagi sesiapa yang ingin memegang satu-satu pandangan atau mengikuti pendapat tertentu dalam satu-satu isu yang berbangkit. Namun jangan sesekali memaksakan pandangan dan pendirian kita kepada orang lain, apatah lagi memperlekeh mahupun mengeji mereka yang berbeza dengan kita. Sedangkan di kalangan ulamak2 Mazhabpun amat menghormati pandangan berbeza maka siapakah kita yang bukan setakat malas membaca buku tapi hanya bergantung pada 'muka buku' untuk menimba ilmu.

Ambilllah iktibar kata2 Imam Malik (pelopor Mazhab Maliki) tatkala Khalifah Harun Al-Rashid menyarankan Imam Malik supaya menggantungkan kitabnya Al-Muwatta’ pada Kaabah, dan mewajibkan masyarakat supaya menerima kandungannya. Maka Imam Malik menolak cadangan tersebut dengan menyatakan:

أَمَّا تَعْلِيقُ الموطَّأ فإنَّ الصَّحابةَ اخْتَلفُوا في الفُروع وتفرَّقُوا، وكلٌّ عند نفسه مُصِيبٌ
Maksudnya: “Manakala cadangan menggantungkan Al-Muwatta’ pada Kaabah, sesungguhnya para sahabat telah berselisih pendapat dalam perkara-perkara cabang (furuk), dan mereka telah bertebaran (ke serata tempat). Dan setiap pendapat adalah betul di sisi setiap mereka masing-masing”.

Demikian juga sikap Imam Syafie yang tersohor dengan kalimah hikmahnya:
رأيي صواب يحتمل الخطأ ورأي غيري خطأ يحتمل الصواب
"Pandangan aku betul tetapi boleh jadi salah, pandangan orang lain salah tetapi boleh jadi betul".


https://www.facebook.com/DrZaharuddin/posts/780429038663448

POLEMIK ISU ISTIHALAH DAN BABI : RINGKAS DARI SAYA - Zaharuddin Abd Rahman

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Fatwa Kebangsaan dan Negeri-negeri perlu membuat kenyataan semula atau 'highlight' tiga perkara :-
Pertama : Keputusan hukum yang dipilih untuk rakyat Malaysia dalam hal sama ada Istihalah item najis 'aini seperti babi adalah suci atau tidak. Ini kerana ulama Fiqh mazhab berbeza ijtihad dalam hal tersebut.
Kedua : Sama ada proses istihalah (tranformasi) unsur babi boleh berlaku sebelum menjadi gelatin di negara ini.
Ketiga : Istihalah elemen najis kepada suci dalam produk selain perubatan boleh diterima atau tidak.

Setahu saya, Majlis Fatwa Kebangsaan pernah mengeluarkan fatwa dalam hal ini pada 1999 mengenai barangan, makanan dan minuman yang diproses melalui kaedah bio-teknologi DNA babi, yang diputuskan HARAM dan bercanggah dengan hukum syarak.
Apapun, badan berwajib ini perlu mengutarakannya kembali dan memberi hujjah-hujjah ringkas. Selain itu, ada baiknya juga keputusan makmal halal berkenaan boleh MENGESAHKAN sama ada boleh berlaku istihalah atau tidak kepada bahan berunsur babi khususnya dalam pembuatan makanan seperti coklat. inI kerana ada sebahagian menafikannya.

Pada asasnya, prinsip istihalah boleh berlaku dalam pelbagai jenis najis dan bangkai binatang iaitu dengan berlakunya perubahan kimia sehingga seluruh molekul item najis berubah kepada suatu bentuk baru. Tatakala itu, sebahagian ulama anggap ia telah suci dan halal sama ada untuk ubatan dan makanan.

Perkara tersebut telah dibuktikan boleh berlaku oleh sebahagian besar pengkaji dan ulama serta telah menjadi ketetapan Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia OIC dalam sidang mereka pada 18 -22 November 2013.
Menurut keputusan mereka, najis ‘ain’ termasuk babi dan arak boleh menjadi harus apabila disahkan berlakunya istihalah yang sempurna.

PANDANGAN SILAM
Manakala mazhab-mazhab Fiqh silam pula terbahagi kepada dua kumpulan besar dalam menanggapi istihalah ini.
1. Mazhab Hanafi, sebahagian besar ulama Maliki, Ibnu Taimiyah dan Zohiri berpandangan jika berubah zatnya kepada benda baru maka ia tidak lagi najis.
2. Mazhab Syafie, Imam Ahmad dan Imam Abu Yusuf berpandangan istihalah tidak boleh berlaku kepada najis ain termasuk babi.

KENYATAAN AL-QARADAWI
Kenyataan ulama terkenal, Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi yang menyatakan DNA babi halal adalah telah disalah ertikan tajuknya. Beliau sebenarnya mahu menjelaskan berlaku istihalah dalam zat babi sehingga tiada lagi kesan babi dan yang tidak boleh lagi dikatakan wujudnya babi yang najis. Itu BUKAN PENDAPAT beliau seorang tetapi sekumpulan ulama berautorti dari seluruh dunia melalui PERSIDANGAN Majlis Fiqh Antarabangsa OIC.

Perlu difahami, pandangan mazhab Fiqh dalam hal melibatkan muamalat seperti ini bukan semestinya kekal pendapat terkuat kerana fatwa terkuat masih boleh berubah mengikut peredaran zaman khsusunya apabila adanya peralatan teknologi yang boleh mengesan sebarang kandungan dalam sesuatu produk.

Isu ini adalah isu perbezaan ijtihad fiqh dan tidak perlu mana-mana kumpulan terlalu menghentam pendapat yang lain. Kerana masing-masing disokong oleh hujah yang benar. Dapatan kajian makmal pula mungkin berbeza dari satu makmal dengan yang lain menyebabkan nasihat kepada para ulama menghasilkan pendapat yang berbeza.

AKHIRNYA
Nasihat ringkas saya kepada masyarakat,
a. Jangan mudah menghentam para ulama dan pihak berbeza pendapat kerana masing-masing ada hujah sendiri.
b. Perbezaan pendapat jangan dicerca namun ambillah ia secara positif sebagai keterbukaan dalam Fiqh Islam. Ini penting bagi meuwjudkan masyarakat yang berfikir, membaca dan peka .
c. Apapun saya bersetuju jika sesiapa ingin lebih selamat dan tiada factor keterdesakan, sebaiknya menjauhi semua produk yang terlibat dengan elemen babi walaupun sudah berlaku istihalah khususnya yang bukan dalam bab makanan yang bukan pula makanan asasi. Selain terdapat banyak alternatif yang lebih tidak diragui.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman



RAIKANLAH PERBEZAAN PENDAPAT DENGAN ADAB SOPAN - Asyraf Wajdi Dusuki
Usahlah mudah mengeluarkan kejian, cacian mahupun menuduh bukan2 orang yg mengeluarkan pandangan atau berpendirian berbeza dengan kita. Perselisihan dan perbezaan pandangan dalam Islam adalah suatu yg amat diraikan kerana ia dapat memberikan keluasan kepada ummah. Terbaca kata2 hikmah Khalifah Umar bin Abdul Aziz:

مَا أُحِبُّ أَنَّ أَصْحَابَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَخْتَلِفُوا؛ لِأَنَّهُ لَوْ كَانَ قَوْلًا وَاحِدًا كَانَ النَّاسُ فِي ضِيقٍ وَإِنَّهُمْ أَئِمَّةٌ يُقْتَدَى بِهِمْ وَلَوْ أَخَذَ رَجُلٌ بِقَوْلِ أَحَدِهِمْ كَانَ فِي سَعَةٍ

Maksudnya: “Aku tidak suka kalau sahabat-sahabat Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam tidak berselisih pendapat. Kerana jika hanya terdapat satu pendapat sahaja, nescaya manusia berada dalam kesempitan. Dan sesungguhnya mereka adalah imam-imam yang diikuti. Kalau seseorang dapat mengambil pendapat seseorang dari kalangan mereka, maka akan wujud keluasan”. (Jami’ Bayan al-Ilm wa Fadhlih).



=====
SHAH ALAM - Abaikan fatwa Dr Yusuf Al-Qaradawi mengenai hukum menggunakan gelatin babi, demikian nasihat Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (JFK), Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin kepada umat Islam negara ini. Bagaimanapun katanya, pendapat tokoh ulama itu yang menghukumkan penggunaan gelatin babi oleh orang Islam sebagai halal mengikut konsep istihalah tidak seharusnya dicurigai, cuma ia tidak sesuai dipraktikkan di negara ini.

"Malaysia bukan negara darurat (untuk dibenarkan penggunaan gelatin babi oleh orang Islam). Di sini kita masih mudah dapat bekalan makanan halal," katanya. Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ada mengeluarkan senarai makanan halal, justeru tidak ada sebab kukuh untuk kita sampai perlu atau terpaksa menggunakan gelatin babi yang dibenarkan mengikut konsep istihalah.

Mengenai reaksi sebilangan ulama negara ini yang jelas begitu mencurigai pandangan Al-Qaradawi mengenai perkara tersebut, Abd Shukor berkata, kita tidak seharusnya cepat melatah menghadapi kenyataan kontroversi seperti itu. "Pertamanya, jangan samakan atau bandingkan pandangan seperti itu dengan keadaan di negara kita. Pandangan beliau ada kebenarannya dan berdasarkan hujah. Cuma pada keadaan semasa, ia tidak relevan (untuk dipraktikkan) di sini," tegasnya.

Mengulas lanjut, Abd Shukor berkata, dalam melakukan sesuatu perkara yang tidak jelas hukumnya, umat Islam di negara ini seharusnya berpandu kepada fatwa yang dikeluarkan oleh JFK yang melakukan kajian dan perbincangan teliti dengan merujuk kepada kitab-kitab muktabar sebelum membuat sesuatu keputusan.

"Keputusan yang kita (JFK) buat adalah mengikut kesesuaian keadaan dalam negara kita sendiri, dan inilah yang menjadikan kenyataan (atau fatwa) sesetengah pihak (ulama) dari luar negara berbeza dengan kita," katanya. Al Qaradawi dalam kenyataannya beberapa hari lalu menyatakan bahan yang asalnya adalah babi tertakluk kepada hukum baharu iaitu halal setelah mengalami transformasi bahan atau perubahan zat yang menghilangkan terus sifat yang ada pada unsur asal.

Mengikut hukum fiqh, hal yang seperti ini disebut sebagai istihalah. Kenyataan ulama terkenal itu bagaimanapun tidak disanggah oleh beberapa ulama tempatan yang menyatakan bahan yang haram di sisi hukum Islam tetap dianggap haram meskipun mengalami perubahan zat.

Menurut Abd Shukor, istihalah yang disebut Al-Qaradawi boleh diguna pakai berdasarkan kedudukan, keadaan dan kemaslahatan di tempat-tempat tertentu. "Di negara ini, seperti yang saya katakan tadi, ia tidak sesuai," tegasnya.

Menurutnya, istihalah lebih sesuai dipraktikkan di negara Barat yang umat Islam adalah golongan minoriti serta sukar untuk mendapatkan bekalan halal. "Apa pun, yang paling perlu bagi kita adalah mengelak makanan yang berstatus meragukan atau syubhah," katanya.