Sunday, April 27, 2014

Fadlan Mohd Othman - Lisanmu menggambarkan akhlakmu.

Lisanmu menggambarkan akhlakmu.
Nabi SAW telah mengatakan "Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata benar atau senyap sahaja." HR Al-Bukhari No. 6138.
Akhlak pula adalah sesuatu yang wajib diperbaiki oleh semua umat Islam. Rasulullah SAW diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia; maka begitu jugalah sewajarnya muslim yang merupakan pengikut Baginda SAW.
Walaupun berbicara tentang orang yang jahat, Nabi SAW tetap berbicara dengan baik. Baginda SAW menjelaskan kejahatannya tanpa menggunakan kata-kata nista dan keji. Cukup sekadar yang mendatangkan faedah iaitu memberi maklumat tentang kebejatan akhlak orang itu; seperti:
"Buruk sekali dia ini dalam interaksi."
"Abu Jahm tidak akan meletakkan tongkatnya daripada bahunya."
"Muawiyah miskin tidak mempunyai harta."
"Wahai Abu Zar, engkau adalah individu lemah."
Namun, tiada pula Rasulullah SAW mencaci, memaki atau mencerca!
Justeru, wahai sahabat, ikutlah Rasulullah SAW dalam menjaga lisan kita khususnya bila berbicara tentang orang yang tidak kita senangi atau tentang kebejatan akhlaknya...
Laksanakanlah ayat ini (Surah Yusuf 108):
قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, AKU DAN ORANG-ORANG YANG MENURUTKU, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain."
Perhatikanlah: "AKU DAN ORANG-ORANG YANG MENURUTKU" iaitu mukmin yang mengikut Rasulullah SAW dalam pelaksanaan agama Islam.
Ingatlah, di zaman ini, jari-jemari anda mewakili lisan anda!