SEMASA saya masih bergelar mahasiswa muda, saya menulis sebuah buku yang mengkritik mengenai seorang profesor.
Walaupun dalam buku tersebut telah saya berikan hujah-hujah ilmiah
namun kritikan saya sangat beremosi dan telah merendah-rendahkan
ketokohan profesor tersebut. Prof Ibrahim Zein, seorang tokoh Ilmuwan
Islam dari Sudan membaca buku tersebut dan beliau memberi nasihat ini
kepada saya:
“Jika kamu merendah-rendahkan pencabar kamu, maknanya kamu tidak
sehebat mana pun kerana kamu hanya mampu mencabar yang lebih rendah
daripada kamu!”
Saya membaca penulisan-penulisan di internet yang memperlihatkan
segelintir orang Islam, termasuk personaliti-personaliti terkenal dalam
dunia Islam Malaysia mencabar dan menghina jasad yang tidak lagi
bernyawa!
Siapakah lebih hebat sebenarnya? Jasad tidak bernyawa ataupun lidah yang masih mampu menjelir-jelir?
Khairy Jamaludin, Menteri Belia dan Sukan bukanlah seorang yang
berlatarbelakangkan pendidikan agama tetapi beliau lebih memahami Islam
mengenai perkara ini.
Beliau telah mengkritik seorang tokoh agama dan menyuruhnya ‘shut up’
tatkala tokoh agama tersebut tersasul mengenai ayat yang boleh membawa
makna bahawa ALLAH SWT mematikan Karpal Singh supaya hudud dapat
dilaksanakan di Malaysia.
Lebih memburukkan keadaan, apabila tokoh ini menambah hujahnya dengan
mengatakan bahawa teologinya tidak bertentangan dengan Islam kerana
ALLAH SWT yang mematikan semua manusia.
Terdapat beberapa masyarakat awam yang memberi respons, “alhamdulillah,
rahmat bagi umat Islam Malaysia untuk melaksanakan hudud!” dan banyak
lagi.
Bagi saya, mungkin juga ALLAH SWT mematikan Karpal sebagai ujian bagi
kamu untuk menguji sejauh mana kamu menjaga lidah kamu dan membongkarkan
kejahilan diri sendiri!
Benar, jika kamu katakan bahawa ALLAH SWT yang mematikan semua manusia
tetapi adakah teologi Islam membenarkan senario ini? Bayangkan jika saya
membunuh anda, kemudian saya katakan bahawa, “ALLAH SWT yang mematikan
semua!!!” Ayat kamu betul tetapi kamu telah menggunakannya dalam konteks
yang salah.
Bukan saya tidak bersetuju dengan fatwa tentang RIP (Rest In Peace)
yang diucapkan kepada yang telah meninggal, tetapi sudah terang lagi
bersuluh bahawa hujah-hujah di sebalik fatwa ini menunjukkan para
agamawan lebih cenderung untuk menghukum dan bukannya membetulkan
kekeliruan yang sudah pasti akan tercetus tatkala sesuatu hukum
dikeluarkan. Setiap hukum yang dikeluarkan perlu diambil kira maqasidnya
serta impaknya kepada masyarakat yang dikatakan mudah keliru hatta
dalam isu kalimah ALLAH sekalipun.
Hujah fatwa ini dapat mengelirukan umat Islam dan bukan Islam dengan
mudah kerana mereka tidak memperbetulkan kekeliruan yang berleluasa
dalam kalangan umat Islam sendiri dari dahulu hingga ke saat ini, iaitu
hukuman syurga-neraka: terdapat segelintir daripada mereka yang
menghukum Karpal atau mana-mana individu secara spesifik dan
mengklasifikasikan mereka sebagai ahli neraka atau ahli syurga.
Perbuatan mereka ini seolah-olah menunjukkan tugas mutlak ALLAH SWT
telah diambil alih oleh mereka. Di sini saya berikan satu contoh ayat
dari fatwa RIP yang mudah untuk dimanipulasikan bagi tujuan yang salah
kerana tiada penjelasan dinyatakan dalam fatwa.
“Dari sudut akidah Islam, seseorang yang mati dalam kekufuran tidak akan mendapat keampunan dan rahmat daripada Tuhan.”
Ayat ini boleh disalahtafsirkan sebagai merujuk kepada mereka yang tidak mempunyai Kad IC Islam!
Sedar atau tidak, hukuman ini juga berlaku dalam kalangan syeikh-syeikh
tarikat. Mereka membawa pengikut-pengikut ke kubur yang dikatakan
‘wali-wali’ yang baharu meninggal pada zaman ini untuk bertabarruk
dengan karamah wali-wali ini.
Hal ini seolah-olah menunjukkan syeikh-syeikh sudah menghukum bahawa
jasad yang berada di dalam kubur ini sudah pasti mendapat rahmat
daripada Tuhan dan ibadahnya tentu sudah diterima.
Persoalannya, bagaimana syeikh-syeikh ini mengetahui hal tersebut
sebelum mereka sendiri dihisab di padang mahsyar? Adakah mereka Tuhan
yang mampu mengetahui segala berlaku di alam ghaib?
Kubur Karpal Singh (jika jasadnya tidak dibakar) jelas tidak akan
mengancam aqidah umat Islam. Yang mengancam aqidah umat Islam ialah
kubur ‘wali-wali’ yang ditinggikan untuk syeikh-syeikh dan
pengikut-pengikut mereka yang buta bertabarruk!
Jika seseorang individu mengkategorikan destinasi individu-individu
yang lain seperti syurga dan neraka tanpa dalil wahyu, maka kita tanya
mereka kembali, “adakah kamu sendiri pasti bahawa kamu akan dimasukkan
ke dalam syurga atau neraka?
Andainya dia sendiri ragu-ragu, maka katalah kepadanya, “kalau kamu
sendiri tidak pasti akan nasib kamu, bagaimana pula kamu boleh pasti
akan nasib orang lain?”
Kata-kata di bawah telah menarik diri saya untuk turut berkongsi bersama pembaca sekalian untuk direnungkan bersama.
“Kami hanya pendakwah, bukan penghukum.” (Hassan al-Hudaibi, Murshid al-Ikhwan)
“Saya amat yakin, individu seperti beliau (Karpal Singh) jika diberikan
kefahaman yang sebenarnya tentang undang-undang ini, tidak akan
mempunyai sebarang sebab untuk menolak undang-undang hudud.” (Tuan Guru
Nik Aziz)
* Penulis ialah tokoh pendakwah Perak